Thursday, September 17, 2009

SALAM 'EDULFITR'





Buat teman-teman seperjuangan,

Selamat menyempurnakan ibadah puasa dengan penuh iltizam memperkasa rohani, menjana iman dan meraih takwa. Semoga madrasah Ramadhan yang dilalui mampu membangun jiwa perjuangan yang kental dan gigih agar segala onak dan ujian di persada dakwah dapat dilalui dengan penuh kesabaran.
Segunung harapan kita panjatkan kepada Illahi, mudah-mudahan segala amal ibadah yang kita lakukan diterimanya dan dapat diteruskan sehingga ketemu Ramadhan yang akan datang, insyaAllah...
Ketibaan Syawal tanda kemenangan bagi yang berpuasa, seharusnya tidak mencairkan tembok takwa yang telah dibina. Mari kita raikan hari kemenangan ini dengan rasa penuh kesyukuran dan tawaddu'. Bersederhanalah dari segi persiapan pakaian, makanan dan jauhkan sama sekali amalan dan aktiviti yang boleh merosakkan kesucian hari raya yang dimuliakan Allah itu. Perbaharui dan perteguhkan semula hubungan silaturrahmi sesama anggota keluarga, jamaah dan sasaran dakwah kita. Perbanyakkan ziarah menziarahi, ucapan selamat atau sebarang aktiviti yang boleh menyuburkan ukhuwwah.
Manfaatkan nikmat kemesraan yang dikurniakan Allah di hari yang mulia ini dengan menghulurkan tangan bermaaf-maafan. Semoga kita benar-benar kembali kepada 'fitrah'- bersih daripada dosa. Insaf terhadap tugas-tugas yang belum selesai yang diwajibkan oleh Allah kepada kita sebagai hambaNya, KhalifahNya dan Pemakmur alam.
Sesungguhnya medan kerja yang terbentang di hadapan kita jauh lebih banyak daripada masa yang kita ada. Maanfaatkanlah sebaik mungkin, rancanglah dengan teliti agar tiap-tiap detik yang kita lalui, kita dapat beraksi dengan aksi yang diredhai Allah dan dianugerahinya pahala yang boleh dijadikan bekal untuk kehidupan sesudah mati kita...

Salam perjuangan, maaf zahir dan batin.

Hj. Mohd Nasir Kamarudin
Yang Dipertua Abim Bandaraya Ipoh